Keistimewaan Tawau Tawau

Menara Jam di Tawau - bangunan yang masih selamat semasa perang dunia ke-2

Tawau mendapat jolokan sebagai "Bumi Peladang" kerana sebahagian besar muka buminya kini adalah kawasan perladangan.[5] Dahulu ketika awal kewujudan Tawau ketika zaman pemerintahan British iaitu sebelum era kemerdekaan, kawasan Tawau dipenuhi dengan ladang kelapa (kopra), getah dan pisang lanut (abaka), kini wajah Tawau sudah berubah wajah dengan pokok-pokok kelapa sawit yang terbentang luas jika dilihat dari atas muka bumi dan sebahagian kecilnya masih ditanam dengan tanaman koko yang dulunya juga pernah menjadi identiti daerah Tawau. Sebahagian besar ladang-ladang kelapa sawit ini adalah dimiliki Sime Darby Corporation, Sabah Softwood Sdn Bhd dan Borneo Samudera (Sawit) Sdn Bhd.

Selain itu, Tawau juga boleh dikatakan sebagai "Syurga Pendatang" kerana di sinilah ratusan ribu rakyat Indonesia dan rakyat Filipina yang teramai di Malaysia, datang bekerja secara sah dan menggunakan pasport untuk mencari rezeki yang halal dan menjanjikan pendapatan yang lebih baik berbanding di negara mereka. Kehadiran mereka adalah terkawal namun kewujudan mereka dengan jumlah terlalu ramai dan luar biasa memberikan satu fenomena yang menarik dan menjadi identiti Bandar Tawau yang sangat dibanggakan. Di Tawau ini, anda boleh melihat di mana-mana saja, rakyat Indonesia dan rakyat Filipina berada dan berjalan bebas seperti rakyat tempatan asalkan ada dokumen perjalanan yang sah. Fenomena seperti ini yang jarang ada di tempat lain. Setiap hari juga di jeti pendaratan berdekatan Pelabuhan Tawau, ribuan rakyat Indonesia dan Filipina berulang alik untuk datang dan pergi ke kampung halaman mereka di Indonesia atau ke selatan Filipina. Satu pemandangan yang mengagumkan dan sangat luar biasa.

Tawau juga mempunyai banyak keistimewaan lain seperti hutan semulajadinya yang merupakan kategori hutan tertua di dunia. Maliau Basin dan lembah Danum telah diakui sebagai khazanah hutan yang sangat berharga di dunia. Di Tawau adanya Hutan Simpan Bukit Gemuk yang begitu cantik pemandangannya jika dilihat dari jauh. Begitu juga Taman Negara Bukit Tawau atau juga dikenali sebagai Kawasan Peranginan 'Table'. Tempat ini menjadi kunjungan para warga Tawau yang inginkan ketenangan dengan kehijauan hutan rimba dan kedamaian deruan air terjun dan jeram yang mempesona. Di Taman Bukit Tawau ini juga disediakan kemudahan hotel dan chalet dengan harga yang berpatutan untuk pengunjung yang ingin bermalam di sini. Selain itu, di sini juga disediakan kawasan untuk mereka yang suka mengadakan aktiviti perkhemahan. Mengikut maklumat pihak Pengurusan Taman Bukit Tawau ini, terdapat juga sebuah pokok tertua yang dikatakan adalah yang tertinggi di Asia Tenggara berdekatan taman peranginan ini. Pokok ini adalah daripada jenis pokok Tualang atau di Sabah ia lebih dikenali sebagai Pokok Menggaris.

Selain itu ada banyak lagi tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Tawau ini. Antaranya ialah Tawau Cocoa Village, Shan Shui Golf & Country Club, Balung River Eco Park dan beberapa lagi tempat menarik yang sedang dalam proses pengubahsuaian seperti Kolam Air Panas Semulajadi di Taman HotSpring dan Ranggu Holiday Valley di Batu 10. Tawau juga kini dilengkapi dengan banyak kemudahan rekreasi dan tempat beriadah seperti Taman Awam Muhibbah Tawau yang menjadi kunjungan para warga Tawau untuk melepas lelah pada hujung minggu. Taman ini yang telah diubahsuai menjadi lebih cantik dan menarik dengan tasik mini buatan, laluan trek berjogging yang panjang di sebalik kehijauan fauna yang menyegarkan, taman permainan kanak kanak, gimnasium rakyat, pasar mini buah-buahan FAMA, kemudahan surau dan tandas serta kemudahan ruang letak kereta yang luas untuk para pengunjung yang datang.

Kompleks Sukan Tawau, sebuah kompleks sukan berkonsepkan prasarana termoden dan serba lengkap, pula menyediakan kemudahan untuk hampir semua aktiviti sukan di Tawau. Dari stadium untuk perlawanan bola sepak Piala Malaysia hinggalah ke dewan perlawanan bola sepak futsal. Ini termasuklah juga kemudahan sukan untuk gelanggang seperti tenis, badminton, bola keranjang dan sebagainya. Yang lebih menarik di dalam kompleks sukan ini juga dibina sebuah tasik indah yang luas dengan kemudahan untuk bersiar-siar, berjogging dan bersenam di sekelilingnya. Selain itu, kompleks sukan ini juga menyediakan kemudahan penginapan dengan harga yang berpatutan.

Kemudahan perpustakaan awam di Tawau disediakan oleh Perpustakaan Awam Negeri Sabah Cawangan Tawau yang merupakan antara perpustakaan terbesar di negeri Sabah. Turut dilengkapi dengan dewan auditorium moden dan lengkap yang selalu menjadi lokasi pelbagai aktiviti dari akitiviti untuk kegiatan untuk pelajar sekolah hinggalah kepada aktiviti persatuan serta akvitivi badan-badan kerajaan. Di dalam bangunan perpustakaan yang luas ini dilengkapi dengan banyak ruang untuk pelbagai kemudahan. Dari ruang santai untuk membaca akhbar dan majalah, ruang tontonan video dan audio, ruang untuk kanak-kanak, ruang membaca umum untuk dewasa, ruang untuk buku-buku rujukan, ruangan arkib lama, ruang kemudahan komputer dan internet, kemudahan fotostat, ruang pameran hinggalah kepada Galeri Sejarah Tawau dan Malaysia, semuanya sedia menunggu kehadiran untuk sesiapa yang datang mengunjungi.

Di Tawau ini tidak kurang juga terdapat mercu tanda yang boleh dilihat dan menjadi tarikan kepada pada pengunjung luar untuk dilawati. Antaranya Masjid Berkubah Hijau atau dikenali sebagai Masjid Al-Kauthar yang dikatakan adalah masjid terbesar di negeri Sabah. Mula dibina pada tahun 1997 dan telah siap pada 2002 dengan kos yang menelan belanja hampir 32 juta dan kini merupakan mercu tanda kebanggaan umat Islam di seluruh daerah Tawau ini. Masjid ini pernah menjadi kunjungan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk mengikuti Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat Tawau pada tahun 2006. Masjid-masjid lain yang terdapat di Tawau ialah Masjid Raya yang dibina pada tahun 1972 di tapak masjid lama yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Wilis dan sebuah masjid lama yang terletak di tengah bandar Tawau iaitu Masjid Bandar yang dibina pada tahun 1960.

Selain itu, Tawau juga boleh berbangga kerana memiliki sebuah bangunan pasar terbuka yang dikatakan adalah antara pasar yang terbesar di Malaysia. Bangunan Pasar Mega yang dikenali sebagai Pasar Tanjung ini adalah pusat penjualan untuk segala macam keperluan untuk masyarakat Tawau dari jualan sayur-sayuran, buah-buahan hinggalah jualan aneka keropok, ikan masin, rempah ratus dan bermacam lagi, semuanya boleh didapati di sini. Pasar ini adalah bangunan 4 tingkat yang dilengkapi dengan ruang makan di tingkat 2 dan di tingkat 4. Ruang makan di tingkat paling atas ini adalah sangat menarik kerana anda boleh melihat panorama seluruh bandar Tawau serta keindahan laut yang membiru dengan pelbagai kapal yang berulang alik di pelabuhan Tawau. Selain itu, kemudahan surau dan tandas juga disediakan.

Di Tawau ini, para pengunjung dari luar tidak akan berpuas hati dengan pulang jika tidak membawa balik buah tangan. Central Market Tawau atau lebih dikenali sebagai Pasar Gantung adalah pilihan untuk mendapatkan barang-barangan perhiasan dan kraftangan sama ada perhiasan dari mutiara atau kraftangan dari siput-siput laut dari daerah Semporna atau juga pelbagai lagi barangan daripada rotan, kayu jati, buluh yang cantik-cantik dan unik buatan tangan dari Filipina dan Indonesia. Semuanya boleh didapati di sini dengan harga yang murah-murah dan menarik. Sekiranya anda ingin membeli belah barang keperluan rumah dalam suasana santai dan tenang tanpa kesibukan terlalu ramai orang dan tanpa kesukaran untuk meletak kereta, anda boleh mengunjungi Pasaraya Besar Giant yang terletak 3 km dari bandar Tawau. Ruang membeli-belah yang sangat luas dengan pelbagai ruang-ruang kedai yang semuanya berada dalam satu tingkat sahaja tanpa perlu naik dan turun tangga selain kemudahan letak kereta yang sangat luas. Turut disediakan surau, tandas dan kemudahan perbankan mesin ATM pelbagai pilihan bank.

Pada setiap hari Minggu atau Ahad, para warga Tawau atau pengunjung dari luar boleh mengunjung Pasar Minggu Takada yang terletak di simpang 4 Jalan Apas. Begitu banyak barangan sama ada makanan, buah-buahan dan sayuran segar, kraftangan, haiwan belaan terdapat dan dijual di sana. Di Tawau ini juga amat terkenal dengan restoran makanan lautnya dan anda boleh menjamu selera anda dengan mudah dengan begitu banyak restoran seperti ini berhampiran dengan pantai di bandar Tawau. Penginapan di Tawau disediakan oleh banyak hotel dari yang bertaraf 4 bintang hingga ke rumah penginapan yang berbajet rendah, antaranya Hotel Promenade yang terletak di Kompleks Eastern Plaza, Hotel Belfont Marco Polo dan Hotel Emas.

Makanan di Tawau juga ada yang istimewa dan mungkin sukar diperolehi di tempat lain. Misalnya Nasi Kuning yang merupaka sarapan rasmi bagi orang-orang Melayu di Tawau sama seperti Nasi Lemak yang merupakan makanan sarapan popular di Semenanjung Malaysia dan Mee Tauhu. Selain itu, di sini terdapat juga Amplang dan Keropok Belinju yang merupakan kudapan istimewa di Tawau yang kebiasaannya menjadi ole-ole yang perlu dibawa balik kepada sesiapa yang datang mengunjungi Tawau. Sebenarnya ada banyak lagi makanan istimewa yang boleh diperolehi Tawau bagi yang ingin cuba mendapatkannya. Makanan Tradisi Melayu Tawau seperti sate, ikan bakar, Gogos Kokos (pulut panggang),sayap ayam bakar, pecal (gado-gado), soto banjar, cendol dan pelbagai jenis kuih muih seperti kuih Terang Bulan (apam balik), penyaram, baulu, wajik dan pais pisang, pais upi dan sebagainya. Makanan citarasa Indonesia juga amat mudah diperolehi di Tawau ini. Bakso, nasi lalap (ulam) dan murtabak jawa, semuanya menanti untuk dinikmati.